Anda ingin berjaya dalam bidang jualan? Sudah tentu anda hendak, bukan? Jika tidak, takkanlah anda ingin membazirkan masa memulakan kerjaya dalam bidang jualan, sama ada secara sepenuh masa ataupun secara sambilan. Bagi mencapai kejayaan dalam bidang jualan, adalah penting juga bagi kita mengetahui kesilapan2 yang sering dilakukan supaya kita dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan yang serupa.
- Tidak istiqamah atau konsisten – Masalah ini sering melanda kebanyakan individu yang baru bermula sebagai usahawan. Selalunya, pada peringkat awal mereka sangat bersemangat dan komited dalam menjual produk atau perkhidmatan mereka. Malangnya setelah sebulan atau dua bulan seterusnya semangat mereka mulai pudar terutamanya jika produk atau perkhidmatan mereka kurang mendapat sambutan. Sindrom hangat-hangat tahi ayam mula menyelinap dalam hati mereka. Mereka tidak lagi berusaha dengan bersungguh-sungguh. Sikap sebeginilah yang akan menjerumuskan bakal2 usahawan itu ke dalam lembah kegagalan.
- Takut Gagal – Memang tidak salah jika kita mengharapkan kejayaan. Namun, kita juga perlu bertoleransi dengan diri sendiri sekiranya kita mengalami kegagalan. Kita tidak perlu menyalahkan diri sendiri jika kita tidak mencapai jualan yang disasarkan. Kita juga perlu memaafkan diri sendiri jika kita berjaya melakukan sesuatu. Tanamkan semangat ‘Aku Boleh!’ dalam jiwa dan bertekad untuk mencapai kejayaan.
- Menyalahkan Perkara-Perkara Lain – Sikap suka menyalahkan perkara lain juga adalah antara faktor utama seseorang itu kurang atau pun tidak berjaya langsung dalam bidang jualan.
- Tidak Melakukan Langkah Susulan – Kebanyakan orang beranggapan, bagi berjaya dalam bidang jualan, mereka hanya perlu mengiklankan barangan mereka dan kemudian mengharapkan iklan itu membawa pulangan yang tinggi kepada mereka. Sikap ini adalah tidak betul. Bagi mencapai kejayaan dalam bidang jualan, kita perlu melakukan langkah susulan terhadap produk dan pelanggan kita. Contohnya kita perlu mengiklankan produk atau perkhidmatan kita melalui pertemuan dengan pelanggan, menggunakan telefon, SMS, emel, forum, laman web dan sebagainya.
- Malas – Saya rasa faktor ini tidak perlu saya huraikan dengan panjang lebar. Ini kerana kita semua tahu bahawa sikap malas akan membawa kegagalan total dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Jadi nasihat saya hapuskan sifat malas dan berusaha ke arah kejayaan.
Jadi fikir2kanlah wahai usahawan di luar sana. Untuk berjaya, kita mestilah bertindak sebagai seorang juara.
Salam,
Barizanif.
Filed under: Petua/Tips | Tagged: faktor kegagalan, istiqamah, jualan, juara, konsisten, Usahawan














